BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, October 17, 2009

Amalan Berpasangan ( Couple )di Kalangan Mahasiswa

Isu sosial di kalangan mahasiswa IPT menjadi perbualan hangat dengan tersebarnya gambar perlakuan sumbang menerusi internet yang kononnya dilakukan oleh golongan mahasiswa. Amalan berpasangan boleh dikatakan peringkat awal berlakunya gejala sosial dan tidak sihat seperti khalwat, penzinaan, lahir anak luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Menurut Mohd Nasir Masroom (2004: 10), masalah sosial di kalangan mahasiswa perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan golongan terpelajar. Kelakuan sumbang bukan sahaja mencemarkan imej IPT malah sektor pendidikan tinggi negara.


Cinta merupakan fitrah manusia dan ia agak susah untuk digambarkan. Ada juga yang menyatakan bahawa percintaan di kalangan mahasiswa merupakan satu trend kerana ramai pelajar menganggap kampus merupakan satu medium untuk mencari jodoh.Faktor dalaman berlakunya ialah kurangnya didikan agama dalam diri individu, tatacara kehidupan individu dan keruntuhan institusi keluarga yang menjadi asas pergantungan dan kasih sayang individu tersebut. Manakala faktor luaran pula ialah kemajuan teknologi media massa, pengaruh rakan sebaya, penempatan belia di bandar, kesempitan hidup, pergaulan bebas tanpa kawalan ibu bapa dan aktiviti sosial.


Menurut Asmak Ali (2006: 93), terdapat di kalangan ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak, tidak sehaluan atau sefahaman di rumah dan sering berkelahi di hadapan anak-anak. Hal ini menyebabkan anak-anak merasa tidak aman dan cuba mencari jalan keluar, sedangkan pada masa yang sama ibu bapa mengharapkan anak mereka berjaya dalam pelajaran.


Megat Mohd Farieq (2003: 107), berpendapat mahasiswa yang sedang bercinta adalah kerana didorong oleh rakan sebaya, sama ada terpengaruh dengan rakan yang lain yang mempunyai kekasih atau diprovokasi oleh rakan yang lain dengan memperlagakan diri dengan yang lain.


Kesimpulan, remaja yang bergelar pelajar atau mahasiswa tidak akan terlepas dengan terjerumus ke kancah percintaan. Mereka sering kali alpa dengan dunia mereka sendiri. Tanggungjawab yang sepatutnya dipikul sebagai seorang pelajar disia-siakan. Mahasiswa hari ini semakin mengutamakan kebebasan individu dalam segenap aspek kehidupan. Oleh sebab itu, amalan berpasangan yang dicetuskan oleh Barat jelas kelihatan meresap ke dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hidup yang dipenuhi suka ria dengan melanggar batas-batas yang digariskan oleh agama dan nilai-nilai moral semakin menjadi-jadi. Lelaki dan wanita bergaul bebas tanpa had. Kehidupan masyarakat sebeginilah yang menyebabkan wujudnya kebejatan akhlak terutamanya kepada muda-mudi hari ini. Agama telah semakin jauh dari kehidupan dan hanya sebagai budaya dan adat, bukan dihayati dalam kehidupan. Senario pelajar Melayu yang wujud di IPTA masa kini sebenarnya tidak wajar dibiarkan berlaku secara berpanjangan kerana ia boleh merugikan masa depan pelajar Melayu dan dalam masa yang sama sedikit sebanyak akan menggugat reputasi dan kewibawaan IPTA itu sendiri. Usaha dan jalan penyelesaian yang terancang dan sistematik perlu diambil bagi mengubah atau memperbaiki senario tersebut.

1 comments:

bullat said...

btl tue..
bkn stakat student IPT je..
tp bdk skolah pon da xleh lari dr fenomena couple ni