BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, October 17, 2009

Isu Negara Islam

Isu “Negara Islam” di Malaysia menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad saw dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam. Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.
Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam seperti beberapa orang pimpinan parti DAP, MIC, dan MCA yang sudah pasti tidak memahami tasawwur “negara Islam” sebenar. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna menjadi umat Islam harus menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.
Perlu ditekankan di sini bahawa isu “negara Islam” sering disalahtafsirkan. “Negara Islam” tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan majoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah SAW di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.
Seseorang yang bukan Islam, misalnya Ah Chong atau Ramasamy atau Putong A/L Ambok yang sembahyang lima waktu dan puasa dalam bulan Ramadan tidak menjadikan beliau seorang Muslim kerana beliau tidak mengucap dua kalimah syahadah yang bertunjangkan kepada kesedaran tauhid. Begitu jugalah jika sesebuah negara yang membina bank Islam atau sekolah Islam atau masjid untuk orang Islam masih belum boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam jika negara tersebut tidak “mengucap dua kalimah syahadah” iaitu meletakkan dasar bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Ringkasnya maksud kalimah syahadah ini menafikan adanya Tuhan, peraturan, kuasa, manusia, kebendaan atau perasaan serta nafsu yang lebih besar atau lebih mulia dari Allah SWT dan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Qur’an dan apa jua yang disampaikan oleh Rasulullah saw.




Isu “negara Islam” bukanlah suatu yang baru dalam negara kita. Biarpun perkataan “negara Islam” tidak popular di zaman Nabi Muhammad saw mahupun di zaman awal pemerintahan Islam di Semenanjung sebelum berlaku penjajahan barat, kewujudan masyarakat, wilayah, negeri atau negara yang melaksanakan hukum dan peraturan serta penghayatan hidup cara Islam sepenuhnya telah terpahat dalam lipatan sejarah tanah air. “Negara Islam” pernah wujud. Kini umat Islam harus mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah di cipta di abad ke 15 Masihi. Ia harus bermula dengan individu Muslim sendiri seperti mana kata Hassan Al-Hudaibi, “tegakkanlah negara Islam dalam diri mu sendiri” dan ikuti dengan menegakkan “negara Islam” dalam negara. Ini sekaligus menuntut individu Muslim supaya memiliki kefahaman yang jelas tentang tasawwur negara Islam yang dimaksudkan, mampu berbicara dan berhujah mengenainya, mampu mempertahankannya, serta memperjuangkan. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa “Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172

0 comments: